Thursday, January 21, 2010

Januari 2010: Jauhari Hatiku

Sumber: Laman Web Kaki Novel


Penulis: Imias Farhani
Penerbit: Kaki Novel

Sinopsis:

Nur Farisa Othman... gadis yang hidup di pinggir kota. Berwajah cantik menawan, serta penuh dengan sopan santun membuatkan ramai lelaki ingin mendampinginya. Namun ditolak dengan alasan ingin menumpukan perhatian pada pelajaran.

Ketika Farisa bekerja di syarikat terkemuka negara, dia bertemu dengan Daniel McCormick (duda beranak satu), anak kepada Micheal McCormick iaitu pegerusi syarikat berkenaan. Hubungan staf dan bos yang terjalin di antara mereka membibitkan rasa cinta di hati Daniel. Namun, perasaan itu dikekang demi sikap profesional.

Di dalam kekalutan membesarkan Samantha, Daniel menyerahkan tanggungjawab menjaga anaknya kepada Farisa. Anak kecil yang comel itu telah menjadi penyambung kasih di antara mereka berdua. Bibit cinta terus mekar dalam diam.

Kemunculan semula Angela yang menuntut hak penjagaaan terhadap Samantha telah membuatkan hidup Daniel kucar-kacir sekali gus.

Pelbagai onak harus ditempuhi oleh Daniel dan Farisa untuk terus berada di samping orang tersayang. Namun... berjayakah Farisa bertarung nyawa dengan kesakitannya itu untuk bersama dengan jauhari di hatinya?

Januari 2010: Rumput Masih Hijau

Sumber: Laman web Jemari Seni



Penulis: Iman Xara
Penerbit: Jemari Seni
Harga: RM 20 (Semenanjung)/RM 23 (Sabah&Sarawak)

Sinopsis:

Satu demi satu lelaki yang dia kenal selepas Ikram tidak pernah diizinkan bertamu di hati, sehinggalah Naim menjadi 'tawanan' kalbunya. Sejak awal, kenapa tidak Adam Ashraf yang menjadi pilihan? Kenapa Doktor Safuan sentiasa dipandangnya sepi tanpa rasa? Bukankah mudah memilih yang masih bujang, daripada memilih 'bekas' orang? Apatah lagi untuk memikul tanggungjawab sebagai 'ibu segera'!

Perempuan berhati konkrit ke dia, untuk tidak memahami kerlingan Safuan mahupun senyuman Adam. Kenapa hanya lelaki beranak satu itu yang dia suka?

Malu, kan sesudah berkata 'ya' pada pinangan ibu si dia, sedangkan si dia pandang sebelah mata kepadanya pun tidak. Tiada sesiapakah yang simpati pada perempuan yatim piatu sepertinya ini tatkala pilu melanda bertimpa-timpa?

Wafa, buknkah rumput itu hijau di mana-mana, kenapa harus memandang pada padang yang sudah dimiliki orang lain?

Friday, January 15, 2010

Januari 2010: Seindah Sakura

Sumber: Facebook Alaf 21



Penulis: Liza Zahira
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM 19.90

Sinopsis:

Shakira terumbang-ambing akibat kemiskinan hidup dan hilang tempat bergantung. Airil yang hadir dengan perspektif negatif itu, akhirnya berubah mencintainya dalam diam.

Sukar bagi Shakira untuk bahagia, lantaran ada hati yang dengki dan merancang balas dendam. Hati hitam milik Anida berjaya membuatkan cinta Shakira dan Airil terhalang hingga lelaki itu membawa diri meninggalkan Shakira terkapai-kapai keseorangan. Sejak itu, satu per satu badai melanda hingga hidup gadis itu tidak menentu.

Di universiti, Shakira menerima cinta baru, tapi malangnya dia sudah jadi milik orang lain. Demi kasih pada ibu, dia rela berkorban walaupun hati hancur bagai kaca berderai ke bumi.

Shakira cuba menjadi SEINDAH SAKURA meskipun harapan untuk mendapatkan kembali cinta sejati semakin mustahil. Namun, dia perlu percaya pada jodoh yang telah tersurat untuknya. Mungkin kita dipertemukan dengan cinta yang salah agar kita bersyukur setelah mendapat cinta yang sebenar.

Januari 2010: Cinta si Kucing Parsi

Sumber: Facebook Alaf 21



Penulis: Marwilis Haji Yusof
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM 19.90

Sinopsis:

Menempuhi alam perkahwinan menjadi impian setiap insan. Tidak kira sama ada teruna, dara, duda ataupun janda. Begitulah halnya dengan Pak Johari. Selaku bomoh jodoh yang terhebat, khidmatnya sering mendapat perhatian ramai. Biarpun dia boleh memilih di antara wanita yang datang berubat dengannya untuk dijadikan pengganti arwah isterinya, namun dia sama sekali tidak berbuat demikian. Sedangkan ramai yang datang mendapatkan khidmatnya kini bergelar 'kucing parsi'. Istilah ini merujuk kepada pengantin baru yang sering membelai dan dibelai.

Pada masa yang sama, penduduk kampung dikecohkan dengan kepulangan Leha, janda muda yang dahulunya menjadi kekasih kepada seorang pemuda kampung yang bernama Jali. Sejak kepulangan Leha, Jali tidak sekalipun mengendahkannya. Terhina dengan sikap Jali, Leha membuat percaturan untuk bernikah dengan orang lain. Namun, takdir tidak menyebelahinya.

Atas rasa tanggungjawab kerana tidak memberitahu yang pilihan Leha iaitu Imam Dahlan sebenarnya telah mempunyai orang lain, Pak Johari cuba melamar Leha. Namun, ia tidak semudah yang disangka. Ada juga yang cuba memiliki Leha dan melaga-lagakan Pak Johari dengan Jali. Biarpun akhirnya Leha berjaya disunting, persoalannya siapakah yang berjaya menjadi 'kucing parsi' Leha? Adakah Pak Johari ataupun Jali?

Januari 2010: Dia di Hati

Sumber: Facebook Alaf 21



Penulis: Hasreeyati Ramli
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM 18.00

Sinposis:

Harlina, seorang gadis yang tegas ketika bekerja. Bagaimanapun, sejak Ryan Iskandar mengetuai syarikat tempat dia betugas, dia sering dibuli. Lama-kelamaan, lelaki itu mula jatuh cinta setelah mengenali hati budi Harlina. namun, gadis itu bagaikan mawar berduri. Cantik dipandang, tetapi sukar didekati. Cinta yang mekar di hati Ryan hanya dipandang sepi.

Kehadiran Eddie Firhan telah menawan Harlina yang sekeras kerikir. Belaian cinta lelaki itu menyebabkan dia rasa sangat dihargai. Tanpa disedarinya, Eddie Firhan mempunyai muslihat tertentu.

Ryan Iskandar yang mengetahui tentang kejahatan lelaki itu bertindak menyelamatkan Harlina. Dia sanggup menggadai nyawa demi Harlina biarpun huluran cintanya tidak disambut.
 
Copyright © 2010 Read & Review | Design : Noyod.Com