Saturday, February 6, 2010

Februari 2010: Panggil Aku Najiha

Sumber: Facebook Alaf 21



Penulis: Ana Balqis
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM 19.90

Sinopsis:

Novel kategori Pena Jiwa yang mengenegahkan isu anak tidak bernasab. Garapan dan teknik penulisan Ana Balqis membuatkan kita tertanya-tanya dengan persoalan yang mahu diketengahkan. Namun, pembaca akan menemui jawapannya. Mereka yang meminati novel sastera, inilah pilihan yang anada cari. Terokailah novel ini dengan rasa teruja dan anda akan menemui satu kepuasan di titik akhir.

Catatan Ana Balqis

Panggil Aku Najiha (PAN) cerita tentang kita. Tentang peristiwa yang pernah terjadi di sekitar kita manusia marhaen. Cerita kita yang pernah jatuh kasih kepada sesorang dan tidak berbalas atau kita yang pernah melukakan atau dilukai. Dikhianati, dimusuhi atau mungkin disayang. Dan, juga tentang insan-insan yang mempunyai pandangan yang jauh dan tersendiri. Yang sanggup mengenepikan hal-hal peribadi yang dianggap kecil dan remeh demi menyempurnakan cita-cita dan idealoginya. Dalam PAN tiada watak jahat kecuali kenakalan-kenakalan kecil kerana bagi saya semua manusia baik. Jika ada perbuatan yang agak 'di luarduga' itu mungkin disebabkan sesuatu yang menekan mereka. Yang jika diurud dengan baik tentunya boleh dikawal.

Itu juga sebahagian dari sisi-sisi kehidupan, seperti kata Najiha kepada Wan Azmi suatu waktu, hidup bukan medan pertarungan tetapi tempat manusia menjadi manusia. Membijaksanakan akal dan diri." Untuk jadi cerdik pula tidaklah semudah bersiul atau memetik jari. Banyak dugaan dan ujian perlu dilalui agar akal kita tajam menangkap kemungkinan dan tepat membuat keputusan memandangkan hanya keputusan yang tepat sahaja akan menatijahkan kemurnian.

Dalam PAN juga tidak akan ditemui watak Datuk Datin, Tan Sri Puan Sri atau Tengku itu dan Tengku ini kerana bagi saya, mereka itu sangat jauh dari kita para gelandangan yang menerus atau mencari kehidupan dalam keadaan serba sukar. Justeru saya tidak fikir cerita tentang mereka yang disebut itu relavan dengan anda atau saya, Lalu, dari jiwa manusia biasa itu saya tarik sebilangan ceritanya dan saya paparkan di sini.

Mimpi-mimpi yang menemani lelap kita berzaman-zaman ini, saya tukar menjadi harapan walaupun kita tidak punya apa-apa kesaktian. Harapan yang selalunya kerap disalah anggap dengan pelbagai ungkapan negatif seperti, angan-angan mat jenin. Tanpa harapan juga banyak waktu kita akan terbias dari landasan dan sesia. Dalam PAN, saya cuba berlaku adil dan wajar tetapi saya tidak mampu menolak ketentuan takdir lantaran itu ada ketikanya watak-watak itu bagaikan terpaksa menerima sesuatu di luar kemahuannya. Di alam realiti; mampukah kita menolak ketentuan?

Tugas sebagai manusia yang tahan ujian saya serahkan kepada semua watak dalam PAN cuma sengaja dikedepankan Najiha. Saya letakkan kekaburan sejarah peribadinya kerana mahu dia membentuk satu sejarah baharu. Saya mahu dia menjadi pemula yang berhak pada hidupnya. Najiha itu saya angkat dari kisah anak-anak yang tidak bernasab sah tetapi berbekalkan 'anak-anak itu ibarat sehelai kain putih' makanya, saya perkasakan Najiha dengan kekuatan yang diam. Justeru itu saya bebaskan Najiha seperti kita sedang menjalani hidup.

Wan azmi, satu juzuk sedarhana yang hadir dalam PAN. Tidak saya gambarkan secara berlebihan kerana Islam juga berpesan begitu. Dia diam dam mewakili satu kosmo lelaki elit yang menghadapi cabaran dalam bermacam-macam bentuk dan cuba menyelesailan kemelut atau masalah itu dengan tindakan. Tampil dengan rona sentimental, penyayang, tegas, berkarisma di awal 40-an wajar jika dia 'digilai' tetapi tidak saya 'restui' atau melangsungkan Wan Azmi dalam sosok begitu untuk mewajarkan dia memimpin. Namun sesekali dia agak nakal kerana 'kenakalan' itu merupakan satu imitasi dari dunia benar hatta sebagai pemimpin atau manusia biasa dalam satu sisi; sebagai perencah karya.

Kata Wan Azmi,"Sama ada awak percaya atau tak, saya cuna nak beritahu... saya suka awak. Mula-mula sebab wajah awak tapi sekarang saya suka awak sebab awak adalah Najiha."

Kata Nurfatimah kepada Najiha pula,"Kalau kau jujur, kenapa arasa salah? Perasaan kasih itu bukan kita buat. Kalau kau percaya TUHAN, mestilah percayakan tekdir-NYA sekali."

Setelah itu Najiha semakin teguh dengan keperibadiannya. Dari kosong, dia menerjang hidup dan melalui liku demi liku walaupun adakalanya goyah.

Panggil Aku Najiha, adalah harapan Najiha kepada mereka yang memanggil dan menganggap dia Elina, gadis yang pernah dirindui oleh dua lelaki iaitu Wan Azmi dan Burhan.

Jika disusur ke dalam Islam pula, menjaga aib itu hukumnya wajib. Lalu, barangkali Najiha sedang menjaga aibnya.

Februari 2010: Cinta Hatiku

Sumber: Laman web Buku Prima




Penulis: Pitteriah Abdullah
Penerbit: Buku Prima
Harga: RM 19.90

Sinopsis:

Arissa Putri ditukarkan dengan Syazwan Hafizi kerana ayah arissa iaitu Tan Sri Badrol inginkan seorang anak lelaki bagi mewarisi empayar keluarganya. Tanpa pengetahuan Tan Sri Badrol, Puan Sri Sharifah tega menukarkan anak sendiri dengan Hamzah dan Puan Latifah. Arissa dibesarkan dengan penuh kasih sayang walaupun hakikatnya Arissa sudah diberitahu dia hanya anak angkat dalam keluarga Hamzah. Manakala Syazwan pula hidup dalam kemewahan dan kebahagiaan tetapi tidak dimaklumi dia hanya anak angkat Tan Sri Badrol. Rahsia ini hanya Puan Latifah, Puan Sri Sharifah dan Arissa saja yang tahu setelah Hamzah meninggal dunia.

Arissa yang jatuh cinta dengan Megat Rafiqin terpaksa menolak lamarannya kerana tidak mahu rahsia ini terbongkar. Wali adalah penting dalam pernikahannya sedangkan wali yang sebanar tidak tahu dia mempunyai seorang anak perempuan. Arissa terpaksa berkorban demi orang lain sedangkan jiwanya sudah terseksa setelah berpisah dengan Megar Rafiqin yang membawa hati ke negara Dubai.

Februari 2010: Salju Cinta

Sumber: Facebook Alaf 21



Penulis: Nuriz Aida
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM 18.00

Sinopsis:

Bagi Irfan, cinta tidak ada lagi di dunia ini sejak nyawa Maziah terpisah daripada badan. Pemergian Maziah turut membawa bersama kehidupan lampaunya yang penuh kebahagiaan. Dia mula menjadi lelaki yang tegar menabur cinta kerana hatinya keras menyatakan cinta itu hanya untuk Maziah.

Kemunculan Ilyana yang sarat dengan rahsia telah mengikis keegoan Irfan sedikit demi sedikit. Dia juga sukar mempercayai cinta kerana cinta telah memusnahkan seluruh hidupnya. Kerana dendam, dia sanggup lakukan apa sahaja walaupun terpaksa korbankan nyawa.

Fauzan, lelaki durjana yang telah menghitamkan kanvas kehidupan Ilyana. Kemewahan yang dimiliki dijadikan umpan untuk menarik perhatian wanita. Namun, biar berpuluh yang cantik dan jelita datang menagih kasihnya, hanya Ilyana yang ingin diburu.

Fikir Ilyana, baik Irfan atau Fauzan... kedua-duanya harus dijauhi. Dia tidak sanggup membiarkan hati terus berdarah. Berhenti atau berlari, dia akan pastikan tiada siapa bertakhta di jiwa. Biarlah dia sendiri meladeni kesedihan ini!

"Biar jarak dan masa jadi halangan, jika ada jodoh... kita bertemu semula."

Thursday, February 4, 2010

Februari 2010: Tiada Sepertimu

Sumber: Blog Kaki Novel



Penulis: Anita Aruszi
Penerbit: Kaki Novel
Harga: RM 24 (Semenanjung)/ RM 27 (Sabah & Sarawak)

Sinopsis:

Keifli Benjamin dan Zara Melissa... kedua-duanya punya agenda tersendiri ketika diijabkabulkan. Keifli ingin melarikan diri dari kehidupan lampaunya yang 'kotor' manakala Zara pula ingin menyelamatkan mamanya. Akhirnya mereka hidup sebagai teman serumah, yang tidak berhutang apa-apa di anatara satu sama lain.

Hidup bersama Zara tidak pernah mudah buat Keifli. Ada sahaja yang tak kena di mata Zara. Jenuh Keifli menjaga hati isterinya yang tidak boleh disentuh itu.

Kalau dah hidup sebumbung, mustahil perasaan masing-masing tidak tercuit. Namun keegoan yang menggunung tinggi mengekang masing-masing meluahkan perasaan yang terbuku.

Keifli yang hampir dapat melupakan Intan, kekasih lamanmya yang tergugat dengan kemunculan semula gadis itu. Begitu juga dengan kemunculan semuala Rania, rahsia hitamnya yang sering menghantui emosinya. Zara yang tidak berdosa telah menjadi sasaran utama Rania.

Keifli penasaran. Sempatkah dia meluahkan perasaannya pada Zara? Sempatkah dia menyelamatkan Zara daripada jatuh ke dalam perangkap Rania? Bolehkah Zara menerima kehidupan lampaunya yang 'kotor' itu?

Februari 2010: Sepupuku Suamiku

Sumber: Blog Kaki Novel



Penulis: Lynn Allyna
Penerbit: Kaki Novel
Harga: RM 19 (Semenanjung)/RM 22 (Sabah & Sarawak)

Sinopsis:

Nana menyintai dalam diam sepupunya sendiri, Hisyam. Pertunangan Hisyam dengan kekasih hatinya, Hani telah meremukkan hati Nana lantaran dia tidak dapat menerima yang Hisyam akan menjadi milik orang lain. Namun, tanpa diduga, pertunangan Hisyam dan Hani terputus di tengah jalan pada hari-hari terakhir mereka akan diijabkabulkan kerana kecurangan Hani yang beralih arah kepada seorang lelaki yang bergelar ahli perniagaan. Untuk menutup rasa malu keluarga, Nana diminta menjadi pengganti Hani pada majlis pernikahan itu.

Alam perkahwinan yang dikecapi Nana dan Hisyam menuju ke puncak bahagia. Mereka saling mencintai dan saling memerlukan antara satu sama lain. Akan tetapi, panas yang disangka hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Kebahagiaan yang dikecapi telah diduga dengan penderitaan yang bertimpa-timpa tanpa sempat ditepis satu per satu.

Johan, yang sedari dulu sangat mencintai Nana, berazam untuk memilik Nana walaupun Nana sudah menjadi isteri orang. Pelbagai cara digunakannya untuk mendapatkan kembali hati Nana yang keras itu.

Hani pula muncul kembali, menagih semula cinta Hisyam. Terbit sesalan di hatinya kerana terlalu tamak mengejar kekayaan sehingga memutuskan pertunangan dengan orang yang sangat diciintainya. Kali ini Hani nekad untuk memastikan Hisyam berada di dalam gengamannya.

Malang sekali bagi Nana yang kehilangan anak dan perkahwinannya. Titik hitam itu membuatkan Nana hilang kekuatan untuk hidup. Manakala hidup Hisyam pula menjadi tidak tentu arah apabila dia memilih untuk bersama dengan Hani. Dia kehilangan sinar di dalam hidupnya, dia kehilangan Nana... .

Adakah Nana dan Hisyam dapat bersatu kembali? Adakah mereka dicipta untuk hidup bersama? Atau... mereka ditakdirkan hanya untuk menjadi sepasang sepupu yang sejati?
 
Copyright © 2010 Read & Review | Design : Noyod.Com